Kami mendengar daripada Guru kami, Syeikh Muhammad Husni Ginting Al-Langkati ketika perjalanan Umrah ke Baitullah Al-Haram, dan dengan sanad beliau sampai kepada Imam Nawawi dalam kitabnya "Arba'in An-Nawawi",
Maksudnya :
Daripada Abi AbdurRahman Abdillah Bin Mas'ud, meredhalah Allah keatasnya :
Kami mendengar daripada Rasulullah S.A.W
dan Baginda seorang yang benar lagi dibenarkan :
"Sesungguhnya tiap orang di antara kamu dikumpulkan pembentukannya (kejadiannya) di dalam rahim ibunya dalam 40 hari berupa nutfah (mani), kemudian menjadi segumpal darah selama itu juga (40 hari), kemudian menjadi sekerat daging selama itu juga (40 hari). Kemudian diutuslah kepadanya Malaikat, maka ia meniupkan ruh kepadanya dan diperintahkan(ditetapkan) dengan 4 perkara: ditentukan rezekinya, ajalnya(umurnya), amal(pekerjaannya), celaka atau bahagia.. (hingga ke akhir hadis)"
(Hadis Riwayat Imam Bukhari)
Untuk penulisan kali ini, sy ingin membahaskan ttg hal nikah kahwin. Hal ini disebabkan terdapat banyak persoalan-persoalan yang timbul serta yang menimbulkan. Antaranya saya pernah ditanya oleh beberapa orang berkenaan :
Soalan Pertama : Perlukah kita mencari jodoh??
Dan jawapan saya simple. Iaitu sy menanyakan kembali,
"kalau kita mencari pun adakah confirm akan dapat??
Mungkin kita dapat dan mungkin tidak. Begitu juga dengan mereka yang tidak mencari dan ianya datang dengan sendirinya. Kenapa?? adakah Allah tidak adil, tentu sekali Allah Maha Adil. Lalu sy membacakan Hadis Baginda S.A.W seperti yang diatas..
Kesimpulan dari soalan ini, Allah S.W.T telah menetapkan bagi seseorang itu rezeki, jodoh pertemuan, ajal maut dan kebaikan/keburukan sesama di dunia. Maka tugas manusia ialah bersyukur dengan apa yang hadir di hadapan mata. Diberi pula akal untuk membezakan halal dan haram, baik dan buruk, dan juga menghargai apa yang datang dalam hidup kita. Andai hari ini Allah S.W.T merezekikan kita sepinggan makanan seperti kuew tiow goreng, tetapi kita tidak mengambil dan menghabiskannya, maka tiadalah jodoh kita dengan makanan tersebut. Begitulah dikiaskan kepada jodoh pertemuan seorang manusia.
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud :
“Jika datang kepada kamu pinangan daripada seseorang lelaki yang kamu redha terhadapnya agama dan akhlaknya, hendaklah kamu terima. Kalau kamu menolaknya, padahnya adalah fitnah dan kerosakan di muka bumi.”
Kenapa perlu pulun menjadikan dunia matlamat utama hinggakan kita terpenjara di dalam matlamat dunia tersebut dan tiada peluang untuk menggapai matlamat akhirat. Maka carilah redha Allah S.W.T moga mendapat tempat di Syurga nanti.
Soalan ke 2 : Kenapa orang sekarang ini susah untuk berkahwin??
Huh! pelepek atas muka sendiri soalan ni. Berdasarkan pengalaman dan sekelumit ilmu, sy pun menjawab.
Apabila manusia menjadikan dunia sebagai matlamat, maka inilah yang berlaku. Kita boleh lihat antaranya :
i. Masyarakat sekarang berfikiran, apabila hendak berkahwin maka perlu ada wang berpuluh ribu ringgit. Perlu difikirkan bab hantaran, mas kahwin, hidangan kenduri, kad jemputan untuk vip./vvip, lauk pengantin, pakaian di hari perkahwinan, jurukamera, design khemah pengantin, peralatan dan kelengkapan rumah dan banyak lagi. Persoalannya adakah ini matlamatnya??
Perkara sedemikian seolah-olah telah menjadi rukun nikah, yang mana tanpa perkara-perkara tersebut perkahwinan tidak boleh dilangsungkan. Tetapi ianya berlainan kepada mereka yang ditangkap khalwat, cukup saksi, ada wali, ada si laki , ada si perempuan dan ijab qabul. Maka jadi. Ditambah pula kenduri kecil-kecilan.
Sedangkan perkara-perkara di atas sudah tersasar jauh dengan apa yang diperintahkan oleh Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W.
Dimanakah keimanan kita kepada Hadis Baginda S.A.W yang mafhumnya :
"Berilah kesengangan dan jangan kamu menyusahkan, Dan berilah khabar gembira dan jangan khabar yang menyedihkan."
Malah kalau dilihat masyarakat kini, lebih mementingkan soal "Nanti Apa Orang Kata" dan mengetepikan "Keberkatan".
Ini lebih terbukti dalam bab mas kahwin. Ramai yang mengabaikan pesanan Baginda Nabi Muhammad S.A.W berkenaan perempuan yang baik itu adalah yang rendah maharnya. Yang mana pesanan ini adalah untuk keberkatan dalam hidup berumahtangga.
Sabda Rasulullah SAW :
Ertinya :
"Sebaik-baik wanita adalah yang elok rupanya
dan yang paling rendah kadar maharnya."
(daripada Ibnu Abbas R.A, dikeluarkan oleh Ibnu Hibban)
Ertinya :
“ Seberkat-berkat wanita ialah paling sedikit maharnya”
Rasulullah SAW juga bersabda maksudnya :
"Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah ".
( Riwayat Abu Daud )
Dan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya ".
( Riwayat Ahmad )
Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Wanita yang paling banyak mendapat kurnia ialah wanita yang murah mas kahwinnya, yang senang nikahnya dan baik budi pekertinya. Dan wanita yang jahat ialah wanita yang mahal mas kahwinnya, payah nikahnya dan yang buruk budi pekertinya."
Belum ada dijumpai hadith yang menunjukkan perlu dinaikkan atau dimahalkan mas kahwin. Tetapi yang berlaku ialah mas kahwin berubah mengikut tahun. Dan makin lama makin menyusahkan. Seterusnya menyebabkan ramai yang terjeremus ke dalam dosa perzinaan. Samada zina kecil @ besar. Na'uzubillah.
Persoalan yang ke 3 : Kenapa ramai yang menganggap berkahwin ini adalah satu bebanan @ penghalang terhadap sesuatu. Di sini sy rasa tidak perlulah sy bawakkan keterangan, memadailah Kalamullah Al-Karim & Hadith-Hadith dari Insan Teragung S.A.W menjawab persoalan sedemikian.
1. Firman Allah yang bermaksud :
“Dan berkahwinlah orang bujang(lelaki atau perempuan) dari kalangan kamu,dan orang yang salih dari hamba-hamba kamu,lelaki dan perempuan.Jika mereka miskin,Allah akan memberikan mereka kekayaan dari limpah kurniaNya,kerana Allah SWT Maha Luas(rahmatnya dan limpah kurniaNya),lagi Maha Mengetahui."
(Surah An-Nur : 32)
2. Sabda Baginda Muhammad S.A.W yang bermaksud :
“Perkahwinan itu Sunnahku,sesiapa yang tidak suka kepada sunnahku,
dia bukan dari kalangan umatku”
(Hadis Riwayat Imam Bukhori & Imam Muslim)
3. Pesanan Rasulullah S.A.W kepada Sayyidina Ali R.A : Sabda baginda yang bermaksud :
"Wahai Ali, tiga perkara yang tidak boleh engkau lambatkan,
Sembahyang apabila sudah masuk waktu,
(mengebumikan) jenazah apabila sudah sedia
dan
(menikahkan) anak dara apabila sudah mendapatkan jodoh untuknya."
(Diriwayatkan oleh Tirmizi dan Ibnu Majah)
4. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :
"Nikah adalah sunahku (jalan agamaku),
maka barangsiapa yang cintakan agamaku hendaklah dia menjalankan sunahku itu."
(Riwayat Abu Ya'la dari Ibnu Abbas R.A)
5. Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :
"Barangsiapa yang tidak beristeri kerana takutkan kepapaan maka dia bukan dari golongan kami."
(Hadis Dho'if riwayat Abu Mansur al-Dailami dari Abu Said)
Selain itu, terdapat kalam-kalam para sahabat berkenaan nikah kahwin ini, yang mana ianya bukanlah beban ataupun penghalang. Malah terdapat 1001 hikmah di dalamnya. Samada tersirat mahupun tersurat. Antaranya :
1. Sayyidina Umar al-Khatab r.a pernah berkata :
"Tiada yang menghalang perkhawinan itu kecuali oleh orang yang lemah dan yang membuat maksiat."
Perkataan ini menjelaskan bahawa agama tidak menghalang perkahwinan dan sebaliknya merupakan satu kecelaan terhadap orang-orang yang menghalangnya.
2. Sayyidina Abbas r.a. berkata :
"Tidak sempurna ibadat seseorang yang mengerjakan ibadat sehingga dia berkahwin."
Ini bermaksud, tidak sempurna ibadat seseorang itu kecuali setelah hatinya dikosongkan dari segala gangguan-gangguan was-was nafsu syahwat perkahwinan. Lalu kekosongan tersebut diisi dengan Allah s.w.t. Perkara ini akan hanya akan diperolehi dengan jalan perkahwinan sahaja.
3. Abdullah bin Masud pernah mengucapkan :
"Seandainya umurku hanya tinggal 10 hari sahaja untuk aku hidup, nescaya yang kusukai ialah berkahwin supaya aku tidak menemui Allah s.w.t. (mati) dalam keadaan aku bujang.
4. Sewaktu wabak taun melanda negeri Mesir, dua orang isteri saidina Mua'z telah meninggal dunia akibat penyakit tersebut. Dan ketika beliau sendiri diserang taun, katanya :
"Kahwinkanlah aku. Aku tidak suka menemui Allah s.w.t. dalam keadaan aku bujang."
5. Sayyidina Ali r.a. telah berkahwin selepas tujuh malam kematian Saiyidah Fatimah r.a.
6. Saiyydina Umar al-Khatab r.a. adalah antara sahabat yang banyak berkahwin. Katanya :
"Aku tidak berkahwin kecuali untuk menghasilkan anak. "
7. Sufian bin Uyainah berkata :
"Memperbanyakkan isteri bukanlah dari perkara dunia yang sia-sia kerana saidina Ali r.a. merupakan seorang sahabat yang paling zuhud mempunyai 4 orang isteri dan 17 orang jariah. Perkahwinan merupakan jalan para anbiyak dan akhlak mereka."
8. Imam Ahmad bin Hanbal r.a telah berkahwin pada hari kedua kematian isterinya. Katanya :
"Aku tidak suka bermalam dalam keadaan aku bujang."
9. Muhyiddin Abd Hamid ( 2004 :108 ) mempunyai pendapat mengenai menangguhkan perkahwinan anak-anak perempuan:
"Telah sampai kepada saya berita tentang banyaknya orang yang menunda pernikahan orang-orang yang menjadi tanggungan mereka, seperti anak gadis, saudara dan lain-lain. Penundaan ini dilakukan dengan alasan yang tidak dibenarkan oleh syariat, seperti membantu mengurus keluarga, atau mencari calon suami yang mempunyai lebih banyak harta, atau gadis itu rela menerima orang yang sesuai untuknya , seperti anak bapa saudaranya atau yang lain.”
10. Menurut Prof. Dr. Hamka (1983 : 87 ), Imam al-Syafi'e. Mempunyai beberapa orang anak laki-laki. Pada suatu hari ketika beliau bangun tahajjud tengah malam dilihatnya anak laki-laki yang masih tidur dekat beliau menemani beliau di tempat ibadatnya. Berdiri zakar anak itu dan tegang sekali. Beliau tutupkan selimut anaknya dan beliau terus sembahyang. Tetapi pada siang harinya beliau segera menghubungi teman atau murid beliau yang mempunyai anak gadis lalu beliau pinang dan pada hari itu juga anaknya beliau kahwinkan. Sebab beliau memandang bahawa itupun adalah tanggungjawab beliau. Kalau anak laki-laki belum mampu sedang si ayah mampu apa salahnya jika ayahnya membantu rumahtangga anaknya lebih dahulu.
11. Prof. Dr. Hamka (1983 : 89) menulis bahawa almarhum ayahandanya Syeikh Abdul Karim Amrullah segera mengahwinkan anak-anaknya sendiri dan anak-anak saudaranya yang mana sudah patut kahwin. Mana yang belum kuat rumahtangganya beliau bantu. Dan beliau bangga sebab beliau telah melaksanakan tugas agama yang paling penting.
12. Muhyiddin Abd Hamid (2004:111) ketika memberi pendapat tentang orang yang menolak menikah dengan alasan masih belajar mengatakan bahawa sikap demikian sangat bertentangan dengan perintah Nabi s.a.w. Hal ini merujuk kepada hadith nabi riwayat al-Tirmidzi berkaitan jika datang kepadamu seseorang lelaki yang kamu redhai agamanya sepertimana yang telah dicatatkan sebelum ini. Dengan menghindari perkahwinan, dengan sendirinya seseorang telah menghilangkan maslahat yang dibawa pernikahan. Saya menasihati para wali wanita, dan wanita itu sendiri, janganlah menolak untuk menikah dengan alasan belajar atau mengajar. Seorang wanita yang hendak menikah boleh menentukan syarat-syarat agar dirinya diizinkan tetap menyambung pengajiannya sampai selesai, atau tetap menjadi guru selama satu atau dua tahun, sepanjang dirinya belum disibukkan oleh urusan mengasuh anak. Syarat seperti ini boleh ditetapkan.
(Muhyiddin Abd Hamid 2004 :112)
13. Pernikahan lebih penting daripada belajar. Tambahan pula pernikahan tidak menghalangi belajar, kerana kedua-dua urusan ini boleh untuk disepadukan.
(Shalih Ahmad al-Ghazali 1999 : 45)
14. Manakala menurut Syeikh al-Balihi pula membawakan satu keadaan di mana jika seorang gadis mengatakan :
"Aku tidak akan menikah sebelum pengajianku selesai.”
Tekad remaja ini bukanlah satu masalah, jika pengajiannya akan sampai dalam waktu terdekat. Namun jika pengajiannnya akan selesai beberapa tahun kemudian, maka saya tidak bersetuju jika remaja tersebut menunda pernikahan dengan alasan untuk menyelesaikan pengajiannya, apalagi jika ia menghadapai kursus yang sukar dan tidak sesuai dengan seleranya.
(Muhyiddin Abd Hamid 2004 :113)
Akhir kalam, sy bawakan 1 lagi daripada Hadith Baginda Muhammad Khatamin Nabiyyin S.A.W yang mana ianya mungkin kerap kali di dengar atau acap kali keluar dari mulut para ilmuan Islam.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
"Rebutlah lima keadaan sebelum datang lima keadaan yang lain, iaitu keadaan mudamu sebelum tuamu, keadaan sihatmu sebelum kedatangan sakitmu, keadaan kaya sebelum fakirmu, keadaan lapangmu sebelum waktu sibukmu dan masa hidupmu sebelum tibanya kematianmu."
(Riwayat Hakim dan Baihaqi).
Makanya ambillah ikhtibar dan apa yang baik dari penulisan ini. Selagi darah masih mengalir dalam tubuh, selagi denyutan jantung masih berdegup, rebutlah perkara-perkara yang perlu di utamakan dan hargailah ia.
Akhir kata, sy memohon jutaan kemaafan andai terlanjur kata, terlajak bahasa, terkasar bicara. Apa yang baik itu datangnya dari Allah S.W.T, yang buruk itu adalah kelemahan dan kekurangan ilmu dan diri sy hakikatnya tetap dari Allah jua. Astaghfirullah al-Azhim. Wassalamu 'alaykum wa Rahmatullah.
A.K.A : M.S.Hidayatullah Al-Azhari Location : Malaya Pekerjaan : Khadim Masjid Al-Hidayah & Faidu Rahmah Toriq : Asy-Syaazuliyyah Status : Ummu Haura' Muhammad Mood: Penuh rasa ta'zhim ku persembahkan ketika Allah S.W.T Mentajallikan KeindahanNya