السلام عليكم ورحمة الله الحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله سيدنا محمد خاتم الأنياء والمرسلين
Pertama-tamanya.. Bersyukur ke hadrat Allah Azza Wa Jalla, dengan izinNya kita masih diberi kesempatan untuk menghirup udara hari ke tiga bulan Ramadhan seterusnya menikmati dan menjiwa bulan yang mengandungi 1001 hikmah ini.
Post kali ini, sekadar berkongsi mengenai tiga perkataan yang familiar di kalangan kita iaitu "Muslim, Mukmin & Muttaqin".
___________________________
Muslim : Manusia yang telah mengucap dua kalimah Syahadah iaitu menyaksikan bahawa ' tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, serta mengakuti bahawa Baginda Nabi Muhammad itu utusan Allah S.W.T. Maka manusia ini dinamakan muslim. Ramai orang Manusia tergolong dalam kalangan Muslim di luar sana. Dan Alhamdulillah kita insyaAllah tergolong di dalam kalangan ini.
Mukmin : Manusia yang telah menjalani proses kehidupan Muslim, seterusnya mengamalkan rukun-rukun Islam selari dengan rukun-rukun Iman bukan sahaja mengakui dengan lisan, malah melahirkan keikhlasan pengakuan di dalam hati sanubari juga turut dilaksanakan dengan perbuatan di dalam kehidupan seharian. Bukan Semua Muslim itu berada di kalangan Mukmin. Mudah-mudahan nama-nama kita tercatit di dalam kalangan ini..
Muttaqin : Mereka yang telah menjalani proses kehidupan Muslim, kemudian menjiwai kehidupan Mukmin yang mana beramal dengan amalan-amalan mukmin seterusnya menanamkan takwa kepada Allah Azza wa Jalla. Mereka ini sering berhati-hati di dalam berurusan dengan urusan duniawi, tidak mengabaikan yang wajib sama sekali malah perkara haram langsung ditinggalkan. Amalan sunat seolah menjadi wajib, perkara makruh dan syubhat tidak sekali dilakukan. Mereka ini tidak bersedih dan takut ketika mana ramai manusia takut dan bersedih kerana musibah dan dugaan yang menimpa.. Jarang-jarang Orang Muslim & Mukmin itu berada di kalangan Muttaqin ini. Mudah-mudahan Allah S.W.T membantu kita untuk sampai ke peringkat ini.. Amin.
_______________________________
Berdasarkan petikan di atas, jelaslah golongan umat Baginda Nabi Muhammad S.A.W terbahagi kepada tiga bahagian, terserahlah kepada kita untuk meletakkan diri kita sendiri di antara tiga golongan ini.
Adakah diri kita ini sudah berpuas hati dengan kehidupan kita pada hari ini.. Adakah kita mampu menjamin tempat di akhirat nanti..
Kehadiran Ramadhan, Allah Azza wa Jalla datangkan kerana Rahmat dan RahimNya kepada hamba-hambanya yang sering alpa serta leka yang mana untuk membawa hamba-hambanya ke kedudukan yang terjamin di sisiNya. Firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Baqarah 183 :
Maksudnya : " Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas ummat-ummat sebelum kamu, semoga kamu bertakwa. "
Sebelum faqir mengakhiri kalam pada kali ini, mari sama-sama kita hayati kalam Baginda Nabi S.A.W iaitu hadis Jibril A.S..
Dari Umar Ibnul-Khattab r.a, katanya : Sedang kami duduk di dalam majlis bersama Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba mucul di dalam majlis itu seorang laki-laki yang berpakaian serba putih, berrambut terlalu hitam, tiada kesan bahawa ia seorang musafir, dan tiada antara kami yang mengenalinya, lalu duduk ia bersama Rasulullah SAW, dan ditemukan kedua lututnya dengan kedua lutut Rasulullah SAW serta diletakkan kedua tapak tangannya ke atas kedua paha Rasulullah SAW, lalu berkata : Sipemuda : Khabarkan aku tentang Islam ? Rasulullah : Islam, iaitu hendaklah mengucap syahadat - bahawa tiada Tuhan melainkan Allah Ta'ala dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, dan hendaklah bersembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan menunaikan haji ke Baitullah apabila berdaya ke sana. Sipemuda : Benar katamu. ( Berkata Umar r.a : Kami merasa hairan kepada tingkah laku sipemuda itu, dia yang bertanya dan dia pula yang mengiyakannya ) Sipemuda : Khabarkanlah kepada ke tentang Iman ? Rasulullah : Hendaklah engkau beriman kepada Allah, Malaikat-MalaikatNya, Kitab-KitabNya, Rasul-RasulNya, Hari Akhirat dan hendaklah engkau beriman kepada taqdir Allah yang baikNya atau yang burukNya. Sipemuda : Benar katamu ! Khabarkanlah kepadaku tentang Ihsan ? Rasulullah : Hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatNya sesungguhnya Allah sentiasa dapat melihat engkau. Sipemuda : Khabarkan padaku tentang hari kiamat ?. Rasulullah : Tiadalah orang yang ditanya itu lebih mengetahui dari orang yang bertanya. Sipemuda : Khabarkan padaku tentang tanda-tandanya ? Rasulullah : Apabila hamba perempuan melahirkan tuannya sendiri ; Apabila engkau melihat orang yang berkaki ayam, tidak berpakaian, pengembala kambing ( berbangga ) membina bangunan yang tinggi-tinggi. ( Kemudian beredar keluar sipemuda itu dari majlis tersebut ) : Rasulullah : Tahukan anda wahai Umar siapakah pemuda yang menyoal kau tadi ? Umar Al-Khattab : Allah dan RasulNya jua yang mengetahui. Rasulullah : Itulah Jibril a.s yang telah mendatangi aku untuk mengajarkan kamu pelajaran agama kamu.
wallahu 'alam.
أقول قول هذا وأستغفرالله الغظيم لي ولكم والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
A.K.A : M.S.Hidayatullah Al-Azhari Location : Malaya Pekerjaan : Khadim Masjid Al-Hidayah & Faidu Rahmah Toriq : Asy-Syaazuliyyah Status : Ummu Haura' Muhammad Mood: Penuh rasa ta'zhim ku persembahkan ketika Allah S.W.T Mentajallikan KeindahanNya