Suatu kisah, mengenai seorang sufi yang benar-benar hidup dalam ketaatan dan bergantung hanya kepada Allah S.W.T.
Pada suatu hari, daerah ditempat tinggalnya mengalami banjir yang hebat. Beberapa penduduk telah dipindahkan ke kawasan yang selamat. Dan apabila bantuan sampai kepada ahli sufi tersebut, dia menolak pertolongan yang dihulurkan oleh pasukan penyelamat itu. Dia berkata bantuan dari Allah S.W.T akan datang untuk menyelamatkannya, jadi dia tidak perlu berpindah lagi.
Hari semakin petang. Hujan terus menyirami daerah tersebut sehingga air mula menggenangi lantai rumah penduduk sehingga 50 sentimeter. Maka ahli sufi tersebut berpindah ke tingkat atas rumahnya sambil menunggu bantuan dari Allah Ta'ala.
Tiba-tiba datang sebuah perahu daripada pasukan penyelamat bagi memeriksa untuk menyelamatkan mangsa-mangsa banjir. Mereka memujuk ahli sufi tersebut untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat. Tetapi dia tetap enggan. Dia yakin dengan pertolongan dan bantuan dari Allah Ta'ala.
Air semakin membanjiri hinggakan menutupi rumah, ahli sufi tadi menaiki ke atap rumahnya. Tidak lama kemudian datang lagi pasukan keselamatan menaiki helikopter penyelamat dan memujuk ahli sufi itu lagi. Ahli Sufi menjawab dia tidak mahu mengikut pasukan keselamatan itu kerana berdasarkan keyakinannya, Allah Ta'ala akan menyelamatkannya.
Banjir tidak dapat dibendung lagi. Seluruh rumahnya sudah ditenggelami air. Akhirnya ahli sufi tersebut mati lemas dihanyut air. Setibanya di syurga, pertanyaan pertama yang diajukan kepada Allah Ta'ala adalah " Tuhan Yang Maha Mulia, Sekiranya hamba diizinkan bertanya, mengapa ketika banjir, pertolongan-Mu tidak tiba walaupun sudah lama ku tunggu sehinggakan hamba bertemu dengan Mu disini ?".
Allah Ta'ala menjawab " Wahai hamba-Ku yang setia, bukankah Aku sudah mengirimkan perahu dan helikopter untuk menolong-mu ?". Barulah ahli sufi itu sedar kehadiran pertolongan Allah Ta'ala yang menjangkaui segalanya dan kewujudannya ada dimana-mana.
___________________________
Berdasarkan kisah diatas, cuba kita renung kembali takdir-takdir yang berlaku dalam kehidupan kita. adakah kita menghargai sebarang yang hadir dalam hidup ini ? Yang mana setiap yang hadir itu merupakan takdir Allah Ta'ala untuk kita yang perlu kita hargai.
Sekiranya ia berlalu pergi tanpa dihargai, maka bererti kita telah kehilangan sesuatu yang berharga..
Fikirkanlah..
Segala yang baik itu datang dari Allah Ta'ala dan setiap yang buruk itu jua datangnya dari Allah Ta'ala tetapi berdasarkan kelemahan diri sendiri dan diri yang dikuasai nafsu.
A.K.A : M.S.Hidayatullah Al-Azhari Location : Malaya Pekerjaan : Khadim Masjid Al-Hidayah & Faidu Rahmah Toriq : Asy-Syaazuliyyah Status : Ummu Haura' Muhammad Mood: Penuh rasa ta'zhim ku persembahkan ketika Allah S.W.T Mentajallikan KeindahanNya