As-Salamua'alaikum wa Rahmatullah..
Alhamdulillah was Solatu was Salamu ala Rasulillah wa 'ala aalihi wa ashabih.
Baru-baru ini semasa perkongsian ilmu di Surau Perdana, Damansara Perdana, alfagir diajukan soalan berkenaan dengan hukum menipiskan sebahagian rambut dan sebahagian lagi dibiarkan. Hal demikian ialah Qaza'.
Maka dalam apa jua yang kita lakukan sementara diberi kesempatan untuk bernafas di atas muka bumi Allah ini. Lakukanlah @ jalanilah kehidupan kita ini dengan perkara-perkara yang bermanfaat untuk Agama, masyarakat dan diri sendiri. Allah S.W.T telah mengurniakan kita Umat Islam satu anugerah terbesar dalam kehidupan kita iaitu dengan diutusnya Baginda Nabi Muhammad S.A.W.
Maka cara untuk kita bersyukur dengan anugerah tersebut antaranya ialah menjadikan Baginda Nabi S.A.W sebagai contoh ikutan @ role model dalam kehidupan. Apa yang datang dari Baginda Nabi Muhammad S.A.W maka ikutilah dan apa yang menyalahinya maka jauhkan dan tinggalkanlah.
Kembali kepada Qaza', Baginda Rasulullah S.A.W melarang Qaza', iaitu potongan rambut yang dihasilkan dengan mencukur @ menipiskan rambut pada sebagian kepala dan membiarkan sebagiannya lagi.
Maka Para Ulama telah bersepakat bahawa Hukum Qaza’ adalah MAKRUH.
Imam Nawawi menyebut dalam kitab “al-Minhaj syarh sahih Muslim” (maksud):
Sepakat ulama bahawa makruh Qaza’ sekiranya cukur dibeberapa tempat dan dikecualikan sekiranya untuk tujuan perubatan. Maksud Makruh disini ialah makruh yang biasa (bukan makruh tahrim).
Di dalam Mazhab Al-Imam AsySyafi’I Rhm, Imam Nawawi Rhm berkata dalam kitab “Raudatut Talibin” (maksud):
Makruh Qaza’ iaitu mencukur sebahagian kepala samada ditempat yg berbeza atau tempat yang sama.
Larangan melakukan Qaza' ini telah disebut dengan jelas di dalam hadits dari ‘Abdullah bin ‘Umar R.A katanya (maksud) :
"Sesungguhnya Rasulullah S.A.W melarang daripada melakukan qaza‘ (mencukur sebagian dari rambut kepala)."
(H.R Imam al-Bukhari & Imam Muslim)
Dalam hadits yang lain daripada ‘Abdullah bin ‘Umar R.A (maksud) :
"Sesungguhnya Nabi S.A.W telah melihat seorang anak-anak yang dicukur sebagian rambutnya & ditinggalkan sebahagian yang lain, lalu Nabi melarang mereka berbuat demikian dan Beliau bersabda: "Kamu cukur (rambut itu) semuanya @ kamu tinggalkan semuanya (tidak mencukurnya)."
(H.R Imam Abu Daud)
Hendaklah mereka yang berpegang dengan ajaran Islam, yang mengaku mencintai Baginda Nabi Muhammad S.A.W menghindari dirinya dan melarang potongan rambut model ini kepada orang-orang yang berada disekeliling mereka.
Hal ini kerana LARANGAN dari BAGINDA NABI MUHAMMAD S.A.W malah potongan jenis ini meniru potongan rambut orang-orang kafir dan orang-orang yang lalai dengan Allah S.W.T dan lain-lain.
Baginda Rasulullah S.A.W sudah mengingatkan dalam sabdanya (maksud) :
“Sungguh kamu benar-benar akan mengikuti cara hidup orang-orang sebelumnya, sejengkal demi sejengkal, sehingga seandainya mereka itu masuk ke lubang biawak, pasti kamu akan mengikuti juga. Para sahabat bertanya; “Apakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Jawab Rasulullah S.A.W : "siapa lagi kalau bukan mereka.”
(H.R Imam Muslim)
Dalam bab menyerupai golongan Kafir, sebahagian Ulama' mengharamkannya.
Kesimpulannya didalam bab ini terdapat beberapa kesimpulan :
1. Melakukan Qaza' adalah Makruh menurut Kesepakatan para Ulama.
2. Melakukannya dengan niat mencontohi seseorang aktor yang bersalahan dengan Agama Islam bukanlah Jalan Menuju Redha Allah S.WT. Malah membelakangkan Sunnah Rasulullah S.A.W.
Wallahu a'lam bissowab.
Mudah-mudahan Baginda Nabi Muhammad S.A.W memandang kita dan mendapat Syafaat Dari Baginda diakhirat nanti kerana sentiasa berusaha untuk mencontohi Sunnah Baginda.
Mohon kepada para Alim Ulama', Masyaikh dan asatizah sekiranya ada kekurangan dan kesalahan, mohon ditegur dan diperbetulkan. Jazakumullahu Kher.
Ya Allah, Ampunkan Kami & seluruh muslimin muslimat yang sentiasa berbuat dosa,
Terkadang kami terbuat perkara yang Engkau & Nabi-Mu murka,
sedangkan ketika itu kami terlalai dan kami terleka,
mungkin kami melakukannya pada ketika itu sedang kami tiada mengetahuinya..
Ampunkan kami Ya Allah..
Ampunkan kami Ya Rahman..
Ampunkan kami Ya Rahim...
alfagir M.Syafie Hidayatullah
_Masjid Masjid Al-Hidayah Kg.Sg. Penchala
Labels: Renung-Renungkanlah, Tips |